HARI ini rata-rata rakyat
dah mula bosan dengan percakapan politik. Buka televisyen dengar cerita pasai
politik, buka akhbar juga banyak cerita politik, pergi kedai kopi juga sama
rata-rata orang bercakap pasai politik malah buka FB juga begitu.
Percakapan politik oleh
aktivis dan penyokong dan pendokong parti-parti politik membuat rakyat biasa
yang berada atas pagar bosan. Masing-masing mempertahankan ideologi dan tindakan pemimpin mereka sedangkan sebagai
rakyat biasa yang rasional dapat memikirkan yang mana benar dan yang mana
salah.
Penyokong dan pendokong
politik UMNO/BN dengan cara dan gaya mereka biarpun mereka mungkin sedar
kesalahan dan kesilapan pucuk pimpinan parti mereka. Mereka tetap menyokong dan
tidak berani menyatakan kebenaran.
Rata-rata rakyat yang
melihat isu kemasukan wang ke dalam akaun peribadi Presiden UMNO yang juga
Perdana Menteri Datuk Seri Najib atas
apa juga alasan adalah salah, namun kepimpinan dan penyokong parti berkenaan
tetap mempertahankannya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib sendiri akhirnya mengaku
menerima wang sebanyak RM2.6 billion dalam akaun peribadinya dan katanya wang
itu adalah derma Tok Arab untuk dana politik. Kita terima kenyataan itu benar,
walaupun kenyataan itu benar tetapi memasukan wang derma untuk dana politik ke dalam
akaun peribadi adalah salah di sudut akta pertubuhan. Kalau itu merupakan dana
politik maka wang itu perlu di masukan ke dalam akaun UMNO atau BN bukannya
akaun peribadi beliau.
Pihak Peguam Negara telah
menyatakan pendirian tidak ada kes dan pihak
Pendaftar Pertubuhan membisu seribu bahasa. Jika ini pendirian Peguam Negara dan Pendaftar Pertubuhan dan
beranggapan tindakan itu tidak salah maka mana-mana ketua bahagian, ketua
cawangan atau pengerusi mana-mana parti politik juga boleh mengutip derma dan dimasukan
ke dalam akaun peribadi juga tidak salah. Bolehkah itu berlaku?
Bangkai gajah yang besar
pasti tidak dapat ditutup dengan nyiru
yang kecil. Akhirnya isu yang cuba ditutup oleh Peguam Negara kita meletup di
Amerika Syarikat melalui saman DOJ. Melalui saman itu mereka dapat mengesan salah
laku Perdana Menteri Datuk Seri Najib yang dinamakan sebagai MO1 dan
rakan-rakan sekutunya termasuk anak tiri Datuk Seri Najib.
Maka muncul pula pembela
Datuk Seri Najib mengatakan bahawa Amerika Syarikat berniat untuk menjatuhkan
dan menjajah Kerajaan Malaysia. Nampaknya pembela-pembela Datuk Seri Najib
seolah-olah cuba memperbodohkan rakyat negara ini. Pembela-pembela Datuk Seri
Najib seolah-olah menidakkan kejayaan Kerajaan BN yang ditunjangi oleh UMNO
memberi pendidikan yang membolehkan rakyat negara ini berfikir dan membuat penilaian mana betul dan mana
yang salah.
Bagi penyokong dan pendokong
PAKATAN HARAPAN ada gaya dan cara
tersendiri dalam menarik sokongan rakyat. Mereka akan pertikaikan apa saja yang
dibuat oleh pihak kerajaan dan mereka yang menawarkan kerajaan alternatif kepada
rakyat namun sehingga hari ini tidak mampu bersatu dalam hakikat sebenar.
Diyakini dengan kemunculan
parti baru tajaan Tun Dr. Mahathir yang diketuai oleh Tan Sri Mahyudin Yasin
akan membuatkan parti-parti PAKATAN HARAPAN dan Parti Pribumi Bersatu akan berebut kerusi.
Walaupun ada perbalahan dalam perebutan kerusi namun dirasakan masalah ini
tidak begitu kritikal jika dibandingkan dengan PAS.
Sementara bagi pendokong dan
penyokong PAS pula asyik mengkafirkan sesama Islam, siapa yang tidak menyokong
RUU adalah kafir. Mereka juga melemparkan tuduhan mereka tidak boleh bersama
PAKATAN HARAPAN kerana DAP menentang Islam.
Mereka mendakwa sebagai parti Islam, adakah cara politik yang mereka amalkan itu
bersandarkan kepada cara berpolitik Islam?
Persoalan lain yang timbul
adakah kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO benar-benar ikhlas? Kini hanya
pembacaan pertama di Parlimen dan belum sampai tahap usul untuk diperbahaskan
dan dibuat undi untuk terima atau tidak usul itu. PAS tak perlu mengkafirkan
orang jika benar UMNO ikhlas usul itu pasti lulus kerana jika ahli parlimen
UMNO dan PAS saja sudah memadai untuk memang.
Kita lihat PAS begitu
ghairah dengan musuh tradisi politik mereka, UMNO. Mereka lupa inilah senjata
paling ampuh untuk pisahkan PAS daripada gabungan pembangkang yang
berkemungkinan mampu mengugat kekuasaan mereka selama ini. Hakikatnya bukan
mudah untuk Ahli Parlimen UMNO menyokong usul ini, parti-parti komponen BN
sendiri telah menunjukkan sikap penentang. Mana mungkin UMNO akan ketepikan
rakan-rakan mereka dalam parti komponen BN? Ramai pemerhati politik berpendapat
PAS hanya menjadi bahan permainan UMNO untuk terus berkuasa.
Lantaran itu rakyat yang
berada di atas pagar mula bosan, muak
dengan pembicaraan politik. Mereka ingin pilihanraya dapat diadakan
secepat mungkin. Mereka ingin menzahirkan sokongan mereka melalui kertas undi.
Mereka juga menyimpan harapan apabila keputusan telah dibuat cakap-cakap
politik akan mula berkurangan. Jadi persoalannya bilakah pilihanraya umum ini
akan di adakan?
Berdasarkan perkembangan
semasa diyakini Datuk Seri Najib akan mengadakan PRU 14 pada bulan Mac atau
April tahun depan. Parti-parti politik komponen BN telah diarahkan menyiapkan senarai calon.
Pengesahannya kita lihat pada pembentangan budget negara yang akan dibentangkan
pada 21 Oktober ini. Kita tunggu dan lihat selepas itu pastinya akhbar akan
mainkan ini merupakan budget rakyat.
Datuk Seri Najib tidak boleh
tunggu lebih lama lagi. Ketika ini pakatan pembangkang dilihat tidak bersatu
dan masih bertelagah sesama mereka, manakala PAS membawa haluan sendiri
pastinya akan mengundang pertembungan tiga penjuru. Jika berlaku pertandingan 3
penjuru ini akan memberikan kelebihan kepada BN khususnya UMNO. Perkara ini telah dibuktikan dalam pilihanraya
kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini.
KLIK IMAGE UNTUK KE BLOG INI
KLIK IMAGE UNTUK KE BLOG INI
KLIK IMAGE UNTUK KE BLOG INI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan