DALAM kita mengharungi kehidupan di dunia pasti kita tidak
dapat lari daripada masalah. Orang kaya
dan senang lenang menghadapi masalah cara orang kaya. Orang susah menghadapi
masalah cara orang susah. Orang berkeluarga menghadapi masalah cara orang
berkeluarga dan orang bujang menghadapi masalah cara orang bujang.
Adat kata setiap
orang yang hidup di dunia ini pasti tidak dapat lari daripada masalah. Sebagai manusia kita perlu menghadapi
masalah. Sebenarnya masalah yang mewarnai kehidupan manusia adalah cara Allah
untuk mentalbiah manusia. Allah ingin melihat kesabaran kita manusia dalam
menghadapi masalah. Malah masalah dalam hidup kita akan mematangkan pemikiran
kita dan memahami sepak terajang kehidupan ini.
Cuma yang menjadi masalah kepada kita yang di timba masalah
kerana kita gagal mencari jalan untuk mengatasinya. Namun kita sebagai manusia
sebagai hamba Allah dan beragama Islam sekiranya kita menghadapi masalah yang
tidak mampu kita selesaikan maka kembalilah kepada Allah. Mohonlah keampunan
daripada Allah nescaya Allah akan membuka dan memberi jalan penyelesaian kepada
kita.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 199:
“Dan kamu mohonlah keampunan daripada Allah, sesungguhnya
Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Kadang-kadang terfikir dibenak kita mengapa harus kita
beristigfar sedangkan kita tidak pernah melakukan dosa-dosa besar. Jangan kita
ego dan jangan angkuh sebagai mansia biasa kita tidak dapat lari daripada
melakukan kesalahan dan dosa. Walaupun
kita tidak pernah melakukan dosa-dosa besar namun kita tidak terlepas daripada
melakukan kesalahan dan dosa-dosa kecil. Kadang-kadang tanpa kita sedar kita
telah melakukan syirik kecil umpamanya, “Tadi saya sakit kepala sangat-sangat
nasib baik ada panadol”.
Jadi bagi jalan penyelesaian menghadapi apa jua masalah mohonlah keampunan kepada
Allah dan banyaklah beristigfar. Beristigfar ada banyak kelebihannya dan keajaibannya.
“Daripada Ibni Abbas Radiallahu Anhuma, Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya
Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi
setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya”. (Riwayat Al-Imam Abi
Daud)
Hadis di atas jelas nyata menunjukkan tuhan memberi rahmat
kepada yang mereka yang suka beristighfar. Selain dari beristighfar dari
melakukan dosa, ianya zikir untuk yang paling cukup bermakna, untuk
mengingatkan kita agar tidak terjebak dari melakukan dosa. Sedangkan Nabi yang
maksum juga sentiasa beristighfar
seperti dalam hadis ini :
Ibnu Umar menceritakan, kami pernah bersama-sama dengan
Rasulullah dan kami mendengar Rasulullah mengulang-ulang membaca sebanyak 100
kali doa yang berbunyi: “Ya Allah ampunilah aku dan terimalah taubat ku,
sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengasih.”(Hadis Riwayat Abu
Dawud, Turmidzi dan Ibnu Majah, disahihkan oleh Imam Turmidzi)
Nabi yang maksum yang terpelihara dari segala dosa pun
sentiasa melafazkan taubat, sedangkan kita yang sukar dari melarikan diri untuk
tidak berbuat dosa amat sukar untuk melafazkan istighfar. Sedarkah kita, segala
kesulitan yang kita terima adalah hasil dosa-dosa yang kita lakukan, hanya
taubat dapat mengatasi rasa sulit tersebut.
Terdapat dua jenis musibah, yakni musibah yang menguji
benteng keimanan kita, atau musibah untuk memberi balasan atas dosa-dosa yang
kita lakukan. Jika menguji benteng keimanan kita, itu bermakna tuhan sayang
kita, dan kepadaNya kita berserah, memohon keredhaan. Kerana kita akan sentiasa
di uji, tidak kira masa, seperti mana firman Allah :
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja
mengatakan; “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji? Dan
sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya
ALLAH mengetahui yang manakah orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui
siapakah orang yang dusta.”(Surah al-Ankabut: 2-3)
Tetapi bagi Musibah azab, inilah yang paling dahsyat, jika
kita belum sempat bertaubat, maka yang menanti kita di alam lain hanyalah
seksaan dariNya. Tetapi bagi mereka yang sentiasa beristighfar, Allah sama
sekali tidak memberi musibah berbentuk azab, seperti mana firmanNya:
“Dan Allah tidak sesekali mengazab mereka, sedang kamu
berada di antara mereka. Dan tidaklah pula Allah akan mengazab mereka sedang
mereka meminta ampun.” (Surah Al-Anfal, ayat 33).
Tahukah kita kelebihan yang terbesar di dalam istighfar?
Mari kita hayati terlebih dahulu maksud-maksud firman Allah.
“Maka aku (Nuh) katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada
Tuhanmu. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan
kepadamu dengan lebat dan memperbanyakkan harta dan anak-anak kamu, mengadakan
kebun-kebun dan sungai-sungai untuk kamu.” (Surah Nuh ayat, ayat 10-12).
Berigtifallah sebanyak mungkin jadikan istigfar sebagai
wirid sepanjang masa kita.
Beristigfar kita telah
membersihkan diri kita daripada segala dosa dan kesalahan kita. Surah Nuh ayat
10-12 Allah telah memberitahu dengan istigfar Allah turunkan hujan, mengadakan
sungai dan kenun-kebun, dengan istigfar Allah banyakkan harta dan anak-anak.
Bagi merungaki masalah istigfar ini kita
hayati kisah mengenai Ahmad bin Muhammad
bin Hanbal Abu ‘Abd Allah al-Shayban yang cukup terkenal dengan nama mazhabnya,
iaitu mazhab Hanbali.
Suatu ketika itu, Imam Ahmad singgah di sebuah tempat yang
kebanyakan mereka tidak mengenalinya (kurangnya teknologi ketika itu). keadaan
sudah larut malam dan Imam Ahmad merasa letih dan ingin tidur didalam sebuah
masjid. Tapi niatnya tidak kesampaian kerana penjaga masjid tersebut melarang
Imam Ahmad untuk tidur di masjid. Imam Ahmad kemudian bertanya kepada penjaga
tersebut sama ada dia dibenarkan untuk tidur di luar masjid, penjaga itu
melarangnya. Imam Ahmad bertanya lagi jika dia tidak tidur, tetapi hanya
berdiri di perkarangan masjid, penjaga itu melarangnya lagi. Penjaga itu
kemudian menolak Imam Ahmad dari masjid tersebut.
Seorang pembuat roti ternampak kelakuan antara Imam Ahmad
dan penjaga masjid tersebut. Setelah jelas akan situasi Imam Ahmad, maka si
pembuat roti mempelawa Imam Ahmad untuk bermalam sahaja dirumahnya. Imam Ahmad
menerima pelawaan tersebut.
Ketika Imam Ahmad hendak tidur, dia terdengar zikir
istighfar dari si pembuat roti yang sedang sibuk membuat rotinya. Imam Ahmad
mendengarkan zikir itu sehingga boleh dikatakan si pembuat roti itu berzikir
istighfar sepanjang malam.
Paginya Imam Ahmad bertanya kepada si pembuat roti mengapa
dia beristighfar. maka si pembuat roti menjawab, “Setakat ini segala doa saya
dikabulkan Allah melainkan satu perkara sahaja belum lagi”.
Imam Ahmad bertanya “Apakah doa kamu yang belum di
perkenankan oleh Allah itu?.
Jawab lelaki itu ” Saya berdoa agar dipertemukan dengan Imam
Ahmad bin Hanbal”
Maka kata Imam Ahmad : ” Saya lah orangnya, Akulah Imam
Ahmad Bin Hanbal, demi Allah, sesungguhnya aku telah diseret untuk menuju
kepadamu.”
Lihat sahaja betapa agungnya kuasa Allah memakbulkan doa si
pembuat roti itu untuk menemukan dia dengan Imam Ahmad. Berkat Istighfar yang
sentiasa dilakukan dengan hati yang ikhlas, tuhan telah memakbulkan doa si
pembuat roti tersebut. Nyata kelebihan Istighfar begitu besar buat kita, dan
ikhlaskan hati kita untuk beristighfar kepadaNya, insyaAllah, Allah itu Maha
Pengampun dan Maha Penyayang.
KLIK IMAGE UNTUK KE BLOG INI
KLIK IMAGE UNTUK KE BLOG INI
KLIK IMAGE UNTUK KE BLOG INI